Golongan belia perlu dibekalkan dengan tiga kemahiran iaitu berniaga, teknikal
dan memimpin sebagai strategi bagi pembangunan belia untuk bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ketiga-tiga kemahiran itu adalah penting jika negara hendak membangunkan golongan belia sebagai tenaga dan aset yang berjaya dan berkesan.
Dalam hubungan ini, beliau menarik perhatian, Pergerakan Belia 4B telah dapat membuktikan kemampuannya memperoleh ketiga-tiga kemahiran tersebut dengan melahirkan golongan usahawan dan profesional muda di kalangan ahli-ahlinya selain aspek kepimpinan.
Beliau berkata, pergerakan belia harus memikirkan apakah pergerakan itu akan kekal dengan cara dulu atau mencari pendekatan-pendekatan baru pada alaf baru ini.
``Bagi saya, kita perlu terus memperoleh ketiga-tiga bidang kemahiran tersebut kerana ia masih relevan untuk memastikan kejayaan belia yang terdiri daripada 60 peratus penduduk negara ini,'' katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Belia 4B Malaysia ke-27 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Abdullah berkata, Belia 4B kini muncul sebagai pergerakan belia yang paling berjaya dan ini terbukti dengan barisan kepimpinan negara sama ada di peringkat negeri dan nasional yang terdiri daripada bekas pemimpin Belia 4B.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Belia 4B memikirkan untuk mewujudkan satu rangka tindakan bagi menjadi tenaga pemangkin kepada keseluruhan pertubuhan belia di negara ini.
Menurutnya, rangka tindakan itu boleh diwujudkan melalui rancangan-rancangan dan kegiatan Belia 4B yang menunjukkan contoh-contoh kejayaan bukan sahaja di kalangan ahli-ahlinya malah aktiviti yang dilaksanakan sama ada di peringkat kampung, daerah, negeri dan nasional.
Dalam pada itu, Abdullah menyarankan supaya golongan belia terutama mereka yang mendapat latihan dalam institusi yang ada hubung kait dengan bidang pertanian supaya memberanikan diri menjadi pelopor pembangunan yang mentransformasikan serta memodenkan sektor pertanian.